Purata RM720 Setiap Seorang Sebulan

Andy181kb

Mampukah anda mengirim wang kepada keluarga sebanyak RM720 sebulan ? . Pertanyaan ini timbul bila saya membaca berita mengenai pekerja asing kirim wang RM9.1 bilion sehingga Jun dalam Berita Harian online.Rasa malu pulak pada diri sendiri , orang asing yang datang menumpang di Malaysia boleh mengirim wang sebanyak itu kepada keluarga.Tapi kita ? .

Walaupun keluarga ( ayah dan ibu ) tidak mengharapkan balasan seperti itu , kita seharusnya mengorbankan sedikit pendapatan kita untuk menampung kehidupan mereka.Lebih-lebih lagi ibubapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap.Hulurkan bantuan sekadar mampu walaupun RM50/bulan.

 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata jumlah pengiriman wang oleh pekerja asing ke luar negara mencecah RM9,124 juta sehingga akhir Jun lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata mereka dianggarkan mengirim ke luar negara kira-kira RM18.1 bilion bagi tempoh keseluruhan tahun ini.

"Sehingga 31 Julai tahun ini, 2.1 juta orang pekerja asing di negara ini mengirim pulang purata RM720 setiap seorang sebulan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) yang bertanya mengenai tindakan kerajaan untuk membendung masalah pengaliran wang ke luar negara pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

"Kedudukan rizab negara yang kukuh bagaimana pun dapat menampung jumlah kiriman wang ini yang hanya 4.7 peratus daripada jumlah rizab semasa," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan sentiasa memantau aliran wang ke luar negara oleh pekerja asing melalui institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan pengiriman wang.

Di samping itu, katanya kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini di antaranya memperkenalkan Sistem Berasaskan Industri (IBS) dalam sektor pembinaan.

Katanya, kerajaan telah menetapkan sasaran pengurangan jumlah pekerja asing seramai 400,000 orang setahun mulai tahun 2008 hingga 2010 dengan tumpuan diberikan kepada sektor perladangan dan pembuatan.

Najib juga berkata kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan levi atau cukai ke atas kiriman wang pekerja asing ini kerana sumbangan tenaga mereka turut memangkinkan perkembangan aktiviti ekonomi negara melalui penglibatan mereka terutamanya dalam sektor perladangan dan pembuatan.

Setiap kenaikan satu peratus jumlah pekerja asing, katanya akan meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar 0.19 peratus. - Bernama / Berita Harian