Asyik Menyampah

Salam Kebajikan ...
Orang yang asyik menyampah melihat kemajuan orang lain, sebenarnya tidak memberi peluang pada diri sendiri menjadi maju kerana di dalam hatinya penuh dengan perasaan dendam, amarah halus dan sangsi.
Bila Anda melihat seseorang yang maju, yang berjaya lalu Anda merasa cukup menyampah ngan orang tu, maknanya Anda adalah salah seorang daripada orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat di atas. Bunyinya kasar, tapi berguna sebagai pengajaran.
Perbuatan ini tidak dapat dilihat oleh orang lain, kerana ia tersembunyi wujud di dalam hati Anda, hanya Anda seorang saja yang tahu. Sesetangah orang juga bijak melakonkan watak sebegini.
Kata pakar motivasi, orang yang asyik menyampah takut dengan bayang-bayang sendiri. Dia asyik sangsi dengan kebolehan diri sendiri bahkan sangsi menggali sejauh mana kebolehan dirinya, sebab itu dia cukup cemburu (juga sakit hati) melihat kejayaan orang lain.
Cemburu yang ada di dalam hatinya adalah cemburu negatif yang penuh rasa muak, cuak juga menyampah pada orang tersebut. Sebab itulah timbul amarah halus di dalam hatinya, kita dapat lihat dari bibirnya yang mencebik tiap kali melihat kejayaan orang lain. Dia juga seringkali melihat aspek negatif di dalam aspek positif.
Anda boleh berubah menjadi orang yang lebih positif. Sikap yang menjadi kebiasaan diri kita boleh diubah bila kita selalu melakukan sesuatu yang baru. Lama-kelamaan ia akan menjadi sikap kita juga.
Ingatkan diri Anda supaya sentiasa berfikiran positif, berkata-kata positif, sentiasa bertindak positif kerana sikap menyampah ini adalah dalam diri kita, boleh menyerang bila-bila masa saat kita hilang kawalan diri seketika.