Jangan Tinggalkan Waris Yang Daif

Oleh Dr. Ahmad Hidayat Buang.

Islam amat menggalakkan umatnya berusaha meningkatkan ekonomi dan pendapatan. Dalam dunia tanpa sempadan dan arus globalisasi sekarang, kekuatan ekonomi memainkan peranan penting dalam menentukan maju mundurnya sesebuah negara atau sesuatu bangsa.

Oleh yang demikian, Allah menegaskan dalam al-Quran tentang keperluan umat Islam bersedia dalam segala bidang termasuk ekonomi sebagaimana firman-Nya, Bersiap sedialah kamu bagi menghadapi musuh menurut kemampuan kamu dengan segala kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap bersedia bagi menakutkan musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu. (Al-Anfaal: 60)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SHAIFUDIN MOHD. NOR menemu bual Timbalan Pengarah Akademi Islam, Universiti Malaya (UM) yang juga pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-undang UM, Prof. Madya Dr. Ahmad Hidayat Buang untuk mengupas kepentingan menabung dan mengumpul harta dalam Islam.
Ayat 60 surah An-Anfal bukan sahaja merujuk kepada persediaan untuk berperang tetapi ia juga merangkumi persiapan ekonomi umat Islam. Apakah iktibar daripada ayat ini?

AHMAD HIDAYAT: Ayat ini menekankan pentingnya umat Islam menabung terutama bagi mereka yang dikurniakan rezeki lebih. Dalam erti kata lain, umat Islam disaran berbelanja apabila perlu sahaja. Perbelanjaan ini pula terbahagi dua iaitu yang wajib dan yang sunat.

Yang wajib ialah seperti mengeluarkan nafkah untuk keluarga, pendidikan, rumah dan zakat manakala yang sunat adalah lebihan daripada perbelanjaan tersebut. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan orang Melayu kurang bijak mengurus lebihan wang ini. Ramai yang lebih suka berbelanja mewah sehingga berhutang walaupun kadangkala barang yang dibeli itu bukan barang keperluan. Sikap begini yang perlu dibuang.

Apakah yang perlu dilakukan untuk mengubah sikap tersebut?

Pertamanya, saya berpendapat kita perlu mengubah pepatah 'biar papa asal bergaya'. Pepatah ini kurang tepat pada zaman sekarang. Kita jangan terpengaruh membeli kereta baru disebabkan jiran kita baru membeli kereta. Sikap terlalu mementingkan penampilan dan gaya itu perlu dibuang. Sebaliknya kita perlu mengutamakan menabung atau melabur untuk masa depan. Pepatah itu perlu diganti dengan 'kaya dulu baru bergaya'.

Islam tidak melarang umatnya bergaya. Al-Quran ada menyebut supaya kita menunjuk dan menyebut nikmat Allah itu sebagai tanda bersyukur sebagaimana firman Allah, Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut dan zahirkan sebagai bersyukur kepada-Nya. (Adh-Dhuha: 11)

Yang kedua, peluang menabung dalam sistem perbankan Islam di negara kita terbuka luas. Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk menarik minat masyarakat melabur dan menabung. Contohnya, dalam skim Takaful dan juga perbankan Islam yang lain. Kalau diperhatikan jumlah penyertaan umat Islam dalam skim Takaful masih rendah berbanding penglibatan kaum lain yang majoritinya bukan Islam dalam sistem konvensional.

Dalam aspek pelaburan, misalnya, kerajaan menyediakan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional. Kita boleh melabur dalam skim ini. Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan melabur dalam skim amanah saham ini adalah harus dan dividennya sah digunakan untuk muamalat.

Barangkali masyarakat Islam terperangkap dengan salah tafsiran tentang zuhud dan qanaah menyebabkan mereka tidak begitu berminat menabung dan melabur?

Mungkin juga kerana kebanyakan orang Islam menggambarkan zuhud sebagai tidak cukup makan, fakir dan daif. Bagi saya pengertian zuhud adalah aspek minda dan pemikiran yang tidak tamak dengan harta dunia dan tidak terikat dengan kebendaan. Kalau dapat rezeki alhamdulillah. Kalau tidak, ia bukan rezeki kita. Pendek kata, kita melihat sesuatu itu dari sudut agama bukan kebendaan semata-mata.
Malah kita memerlukan wang untuk beribadat waima untuk solat kita perlukan pakaian yang mesti dibeli. Itu belum lagi menyentuh bab zakat dan haji. Semua ini adalah ibadat dan rukun Islam. Bayangkan bagaimana kita hendak menunaikan semua ibadat ini tanpa mempunyai kedudukan ekonomi yang baik.

Qanaah pula adalah bersederhana dalam melakukan sesuatu. Dalam Islam bukan kekayaan yang kita cari tetapi keselesaan hidup seperti mempunyai tempat tinggal yang selesa, cukup makan dan keselamatan terjamin. Memanglah mewah itu sesuatu yang subjektif untuk diukur tetapi tuan punya diri boleh menentukan sama ada sudah cukup atau tidak. Kalau kita sudah ada dua kereta atau dua rumah mungkin kita tidak perlu nak tambah lagi.

Apakah larangan Islam terhadap mereka yang suka berlebih-lebihan ini?

Islam memang melarang umatnya berlebih-lebihan yang boleh membawa kepada pembaziran kerana perbuatan itu adalah bersahabat dengan syaitan. Sesetengah ulama termasuk Dr. Yusof Qaradhawi mengatakan sekiranya kita membeli kitab-kitab yang mahal harganya tetapi tidak digunakan, ia perlu dibayar zakat. Begitu juga dengan barang kemas. Jika jumlahnya banyak dan tidak pula digunakan pemiliknya perlu mengeluarkan zakat. Semua ini bertujuan mengelak umat Islam memiliki harta yang tidak perlu.
Yang tersirat daripada yang tersurat adalah melahirkan masyarakat Islam yang ada kekuatan ekonomi dan tidak selamanya dijajah oleh bangsa lain. Caranya adalah tingkatkan tabungan dan berbelanja pada yang perlu sahaja.

Malah Islam turut mementingkan masa depan mereka yang ditinggalkan agar kehidupan mereka tidak susah dan daif. Ini disebut oleh Allah dalam firman-Nya, Dan hendaklah takut kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh orang-orang (yang menjadi penjaganya) yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka (tentulah) mereka akan berasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka. (An-Nisa: 9)

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan terdapat kes harta pusaka dengan nilai mencecah RM38 bilion masih tertunggak kerana tidak diuruskan oleh pewaris. Ini juga membabitkan soal ekonomi umat Islam. Bagaimanakah untuk mengatasi perkara ini?

Perlu diwujudkan keharmonian antara keperluan undang-undang tanah dan juga faraid. Ini memerlukan kajian oleh pihak yang terlibat. Masyarakat pula perlu mengubah pemikiran dalam hal ini. Pembahagian pusaka pula telah dijelaskan dalam al-Quran. Rujuk surah An-Nisa ayat 11.
Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang pada 1981 memfatwakan pihak berkuasa boleh mengehadkan pemilikan kepada seorang ke atas tanah pusaka yang kecil untuk mengelakkan masalah sosial. Ini berdasarkan kepada menolak kerosakan daripada mengambil manfaat. Kerosakan di sini ialah harta pusaka yang tertunggak itu menghalang pembangunan dan menimbulkan masalah sosial seperti perebutan atau berlaku permohonan bertindih oleh satu keluarga.

Kes yang tertunggak ini kebanyakannya melibatkan tanah iaitu harta yang tidak boleh diubah. Walaupun ia pusaka tetapi perlu diberi layanan khas kerana melibatkan kepentingan umum. Ia perlu diselesaikan mengikut hukum Islam. Ulama, cendekiawan dan pengamal undang-undang perlu berbincang supaya situasi menang-menang dapat dicapai. Di Mesir pun ada sekatan ke atas pemilikan tanah bukannya dilepaskan kepada sistem faraid sahaja. Dari segi hukum fikah, apabila bertembung masalah umat dan individu maka keutamaan mestilah kepada maslahat umum.

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, beliau pernah berijtihad semasa mengagihkan tanah Iraq yang dirampas dalam peperangan. Mengikut hukum asal, pengagihan itu layak kepada mereka yang berperang tetapi beliau menggantikannya dengan mengenakan kharaj (cukai). Tindakan itu diambil kerana Umar berpendapat, jika tanah-tanah itu diberi kepada tentera siapa yang akan mengusahakannya kerana mereka ini sering berperang. Sudah tentu tanah-tanah itu akan terbengkalai. Oleh itu, Umar memutuskan supaya tanah tersebut diberi kepada petani yang sedia ada untuk diusahakan. Mereka dikenakan cukai yang kemudiannya diberi sebagai elaun kepada tentera terlibat.
Di Malaysia, Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) pada 1960, misalnya, meluluskan undang-undang menghendaki tanah rancangan pembangunan diturun milik kepada seorang waris yang berhak sahaja.

Malah, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 13 dan 14 April 1982 bersetuju dengan cadangan mengehadkan pemilikan tanah pertanian seluas 0.2 hektar kepada seorang pemilik sahaja.