Info :Skim cepat kaya versi baru : Labur dalam syarikat penternakan

Info ini dicopypaste dari Saifulsham.com…seterusnya.

Tahun lalu, satu negara gempar dengan skim Swisscash, E-barrel dan yang seangkatan dengannya. Dan terbaru 4 syarikat disiasat oleh Bank Negara

Seiring dengan masa, skim cepat kaya tidak pernah terkubur hingga hari ini dengan evolusi yang berterusan pada skim cepat kaya. Seperti yang pernah ditulis Team SaifulSham, jika benar untuk menjadi betul-betul kaya dengan skim cepat kaya (SCK), jadilah operator SCK dan bukannya peserta program SCK.

Dan itulah yang terjadi, disebabkan adanya operator SCK inilah, selagi itu, hayat SCK akan tetap kekal abadi dalam dunia ini.

Bezanya, dahulu kita disogokkan dengan pelaburan di offshore. Sekarang disebabkan operator SCK tahu bahawa orang semakin susah untuk ditipu dengan sogokan pelaburan offshore, maka muncul idea baru, melabur dalam syarikat pertanian seperti penternakan lembu, kambing dan sebagainya.

Operator SCK tahu, kerajaan zaman Pak Lah mengalakkan sektor pertanian, maka dengan menggunakan perkataan pertanian inilah, mereka menjalankan operasi. Saya akan tulis disini secara detail pendedahan SCK veri terbaru ini kerana ia semakin berkembang dengan pesat dan saya pun panas telinga mendengarnya kerana yang tertipu adalah golongan yang sama yang ditipu oleh operator Swisscash, E-barrel.

Disebabkan orang yang ditipu sebahagian besarnya datang dari golongan yang ditipu ketika zaman Swisscash, maka tidak salah untuk saya katakan, apabila sebut soal "wang", manusia hilang pertimbangan waras. Malah, golongan yang melabur ini sebenarnya masih jauh lagi dari memahami perkataan pengurusan kewangan.

Jadi, saya datang untuk membantu memberitahu saudara/saudari yang sudahpun mengeluarkan wang untuk melabur dalam SCK versi baru ini.

Marilah kita teliti bagaimana SCK versi baru ini beroperasi.

Pada saya skim ini tidak baru, sejak akhir tahun lepas saya mendengarnya dan saya pun kenal seorang operator skim sebegini. Kaedahnya adalah dengan membawa pelan pelaburan untuk ternakan (selalunya lembu, kambing) kepada orang ramai untuk melabur.

Orang ramai akan diterangkan bahawa wang mereka akan dijadikan modal bagi mengembangkan perniagaan mereka. Jadi, kesimpulannya, mereka mengajak orang ramai menjadi pelabur bagi syarikat mereka.

Ada sesetengah skim menipu orang awam dengan menunjukkan ladang-ladang ternakan di luar negara seperti di Indonesia (yang ini amat meragukan). Ada juga yang menunjukkan ladang-ladang di Malaysia. Selalunya, penganjur skim ini bukannya berdiri dibelakang nama individu sebaliknya atas nama syarikat bagi menyakinkan orang ramai.

Orang ramai boleh melabur mengikut kehendak masing-masing. Ada antaranya RM500, RM1000, RM2000 dan seterusnya.

Disebabkan dividen berjumlah 300 peratus setahun yang digunakan Swisscash sebelum ini gagal, mereka nampak sedikit sederhana dalam pembahagian dividen.

Antara dividen yang biasa diberikan kepada pelabur ternakan adalah 10 peratus sebulan. Menariknya, mereka dibayar sebulan selepas melabur sebanyak 10 peratus. Dan jangka masa bayaran yang biasa diletakkan operator adalah sekitar 2 tahun.

Ini bermakna, jika dihitung, 10 peratus sebulan, jika 2 tahun, anda sudah boleh mengaut keuntungan 240 peratus! (atau 120 peratus setahun!)

Bunyi nampak begitu hebat dan menyakinkan lagi jika pelabur dibawa untuk melawat ladang ternakan. Baiklah saudara/saudari, tinggalkan seketika keindahan dividen ini.

Biarlah saya berterus terang kepada anda. Dalam dunia penternakan lembu, mendapat keuntungan 120 peratus setahun adalah menakjubkan tetapi meragukan sama sekali.


Jika anda dibawa ke ladang ternakan, pertama, kira lah sendiri secara kasar bilangan ekor lembu yang ada disitu. Marilah fikir secara logik.

Pergi ke penternak lembu yang lain dan tanyalah sendiri berapa kos ternakan dan berapakah harga jualan seekor lembu. Tanyalah lagi, berapakah kadar kematian lembu dan anda sudah boleh membuat sedikit kira-kira.

Saya pasti anda akan terkejut beruk apabila anda mengetahui nilai sebenar kos dan harga jualan. Itu pertamanya.

Kemudian, marilah kita teliti lagi, bagaimana sebuah syarikat boleh membayar kadar dividen yang tinggi iaitu 10 peratus sebulan atau 120 peratus setahun. Adakah seekor lembu yang sama beranak tiap-tiap bulan? Huh, hebat betul spesies lembu itu jika beranak tiap-tiap bulan sehingga anda boleh mendapat dividen yang tinggi.

Kemudian pula, apakah setelah dilahirkan sudah boleh dijual. Selalunya ia memakan masa bertahun sebelum dapat dijual. Hebatnya spesies lembu itu jika ia mencapai umur dewasa dalam sebulan.

Lagi, apakah kos ternakan akan kekal sehingga 2 tahun hingga membolehkan anda dibayar dividen yang tetap? Setahu sayalah, kos ternakan saban hari semakin tinggi tetapi betapa ultra hebatnya jika dividen itu kekal selama 2 tahun ketika kos ternakan meningkat.

Lagi, jika anda pun dibayar 120 peratus setahun, tentunya syarikat itu mengaut keuntungan yang lebih tinggi! Mana mungkin syarikat itu mengambil 5,6 peratus setahun untuk keuntungan mereka jika anda pun dibayar setinggi 120 peratus!

Ini bermakna, jika seorang pelabur dibayar 120 peratus setahun dividen, syarikat itu paling tidak pun akan mengaut keuntungan 120 peratus setahun juga. Wah, hebatnya menternak lembu!

Kemudian, ada lagi komisyen jika anda menarik orang lain seperti saudara-mara atau rakan taulan menyertai pelaburan ternakan (kononlah). Wah, banyak gila untung syarikat itu sehingga komisyen pun boleh bayar, kemudian dividen lagi.

Gunalah akal dan logik. Semua ini hanya impian di kayangan sahaja. Tidak percaya, tanyalah penternak lembu yang berjaya, mereka pasti menggeleng kepala melihat adanya skim begini.

Saya terpaksa bersuara kerana skim ini sudah pun merebak dan disertai golongan professional, ustaz, ustazah, pelajar dan lain-lain. Saya cukup kecewa kerana sekali lagi, perkataan "easy money" mengaburi dan menutup kewarasan golongan ini.

Mengapa saya berani berkata? Kerana saya kenal seorang operator skim ini dan kerjanya mudah sahaja. Membuat template pelaburan ternakan (ladang entah ambil ladang siapa) dan mengambil deposit orang ramai.

Wang pelabur baru itu dipusing untuk membayar dividen kepada pelabur lama. Dan begitulah ianya berterusan sehingga skim ini jatuh.

Jadi, berhentilah dan tutuplah telinga jika anda mendapat perkhabaran begini. Jika anda sudah melabur, cubalah menarik kembali wang anda. Jangan terlalu mengharap kekayaan dengan cara ini.

Biz MLM menipu jer...betul ker