Menjadi seorang usahawan adalah salah satu kerjaya untuk mendapatkan nafkah yang sudah tidak asing lagi dalam diri kita semua. Alamat laman web ini pun menggunakan perkataan usahawan dan pokok perbincangan berkisar terhadap keusahawanan. Apa itu usahawan? apa kelebihan menjadi usahawan? bagaimana usahawan bekerja? bagaimana dia menghadapi cabaran dan apa kepentingan golongan ini dalam masyarakat?. Tajuk ini akan dikupaskan berdasarkan pengalaman penulis sebagai rujukan kepada yang baru berkecimpung dalam dunia ini. Namun demikian kami binausahawan.com mengalu-alukan idea / pandangan pembaca sebagai perkongsian ilmu bersama antara kita.
Berikut adalah pengertian "usahawan" merujuk kepada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka : orang yg mengusahakan sesuatu perusahaan, pengusaha;keusahawanan (segala-gala) yg berkaitan dgn usahawan atau kegiatan dan kemahiran usahawan: kita perlu mencari kaedah-kaedah baru guna membantu mempercepat pembangunan pengurusan dan pembangunan ~ di negara ini; kursus ~; sikap dan tabiat ~.
Ramai individu sudah mula menceburi bidang keusahawanan, mungkin kerana desakan ekonomi, ingin cuba-cuba, mengikut rakan-rakan yang sudah berjaya, mengisi masa lapang atau sudah "nampak" peluang cerah dalam kerjaya ini. Ramai juga individu yang berjaya dan menjadi nama besar dalam dunia keusahawanan masa kini. Namun demikian terdapat juga golongan yang tidak berjaya mempertahankan bisnes mereka hingga hari ini. Ada yang tutup bisnes dan kembali makan gaji. Ada yang tidak fokus menjalankan perniagaan, terlalu banyak bisnes yang diuruskan dengan alasan ingin meluaskan perniagaan. Perkara ini sering berlaku dan hingga hari ini perniagaan mereka hanya cukup makan sahaja kerana pada hakikatnya mereka menjalankan operasi perniagaan yang memerlukan masa dan kudrat yang banyak, berbanding menguruskan perniagaan yang memerlukan ilmu dan pengalaman yang banyak.
Beberapa keluaran ini bukan sahaja ditujukan kepada bakal usahawan, malah kepada ibubapa bakal usahawan, pasangan (suami/isteri) bakal usahawan, adik-beradik bakal usahawan dan rakan-rakan bakal usahawan. Golongan ini yang paling hampir dengan mereka dan kadangkala golongan ini tidak memahami cabaran dan dugaan seorang usahawan kerana kerjaya ini memerlukan pengorbanan yang besar dan kesabaran yang tinggi. Sudah tentu golongan ini akan merasai kemanisan kejayaan seorang usahawan. Hidup mewah dan pangkat yang tinggi dalam masyarakat. Tetapi sebelum merasai kemanisan mereka perlu membayar harga kejayaan dengan kepahitan melalui ranjau dan onak duri sepanjang perjalanan sebelum kejayaan.
Kemiskinan membawa kepada kekufuran. Peratusan kes jenayah meningkat antaranya disebabkan oleh tahap pengangguran yang tinggi. Kes-kes penceraian ada juga hubung kait dengan faktor ekonomi dalam sesebuah keluarga. Itu antara senario yang berlaku apabila kedudukan ekonomi seseorang individu / keluarga tidak stabil, dan adakalanya individu tersebut melakukan perkara yang membatasi hukum agama akibat keperluan yang mendesak. Justeru itu individu yang berfikiran waras bertindak dengan tindakan yang baik disisi agama dan undang-undang negara.
Untuk melarikan diri daripada kemisikinan, individu itu perlu bekerja bersungguh-sungguh mencari pendapatan dan jalan terbaik adalah menceburi bidang keusahawanan. Ini bukan cerita baru lagi pada masa kini, cuba kita lihat ramai contoh golongan yang miskin yang bekerja bersungguh-sungguh dengan cara yang halal tidak kira penduduk negara ini atau pendatang ke negara ini. Hasilnya anda lihat sahaja laaa. Apabila kita mempunyai kewangan yang kukuh kita mampu memiliki kediaman yang selesa untuk pembesaran anak, pelajaran yang terbaik untuk anak, dapat menjaga kebajikan ibubapa yang sudah tua, makan makanan yang halal dan berkhasiat dan berbagai corak kehidupan yang lebih sempurna.
Ayat ini sudah tentu anda banyak kali kedengaran. "Saya ingin kaya sebab boleh beli
kereta besor, rumah besor dan segalanya besor!!!". Apabila kita sudah mencapai tahap segalanya besor, sentiasala berpegang dengan ajaran agama kerana kekayaan yang dikecapi sekadar pinjaman sementara daripada tuhan. Kesimpulannya, apabila kita menjadi usahawan, kita boleh memperbaiki taraf kewangan keluarga kita daripada miskin kepada kaya, daripada baik kepada yang lebih baik asal kita bekerja keras.
Tiada yang mustahil.