Antara hadis Rasulullah SAW ialah 9/10 rezeki itu datangnya dari perniagaan. Semua orang maklum akan hal ini tetapi berapa ramaikah antara kita yang sanggup menyaut cabaran untuk berniaga?.
Saya sama sekali tidak mengatakan bahawa makan gaji adalah salah dan tidak bagus. Malah, ramai teman-teman kita yang berjaya dengan makan gaji. Kakitangan kerajaan umpamanya, bertungkus lumus bekerja untuk membantu golongan usahawan seperti kita juga. Tanpa mereka mana mungkin projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan. Begitu juga dengan kakitangan swasta atau pekerja kita sendiri, tanpa mereka kita juga tidak mampu untuk mengendalikan urusan perniagaan seorang diri!. Disinilah adanya keseimbangan antara orang yang makan gaji dengan yang bekerja sendiri.
Seorang teman saya pernah mengatakan bahawa 9/10 rezeki dari berniaga itu bukan kesemuanya untuk kita. Terdapat didalam bahagian itu milik anak-anak yatim, fakir miskin, para pejuang agama yang menegakkan agama Allah dan sebagainya. Kita harus memulangkan rezeki yang dilimpahi itu kepada mereka dengan cara membayar zakat dan bersedekah. Akhirnya rezeki untuk kita hanya lebih sedikit dari yang makan gaji. Disinilah indahnya hukum agama Islam dengan konsep bantu membantu. Sebab itu Allah melimpahkan rezeki yang lebih sedikit bagi golongan peniaga agar dapat membantu golongan yang disebutkan tadi.
Orang yang makan gaji mampu mengumpul harta dan hidup dalam keadaan selesa atau 'comfort zone'. Mereka mampu memiliki rumah, kereta dan harta-harta lain hasil dari gaji yang mereka perolehi. Orang yang bekerja sendiri mempunyai pendapatan yang tidak terbatas dan tidak menentu. Keuntungan bulan ini mungkin tidak sama dengan keuntungan bulan akan datang. Ini menuntut kebijaksanaan dalam menguruskan kewangan.
Bekerja sendiri juga menuntut risiko yang lebih dari makan gaji. Risiko kegagalan dan kehilangan pendapatan adalah yang paling menyakitkan. Sekali lagi kebijaksanaan memainkan peranan untuk menilai risiko dan meminimumkan impaknya. Walaupun kita digelar golongan 'risk taker' tetapi ianya bukanlah semberono atau membuta tuli. Kita adalah golongan 'calculative risk taker' dengan mengambilkira pelbagai aspek sebelum mengambil risiko. Ibarat kata pepatah, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan!. Setelah segala usaha diambil kira, maka yang selebihnya bertawakal kepada Allah.
Satu persamaan dikalangan kita yang bekerja sendiri ialah kepuasan. Kepuasan ini tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Kepuasan dari segi kebebasan membuat keputusan, kepuasan bekerja kerana minat dan bukan dipaksa dan kepuasan menikmati hasil dari titik peluh dan usaha yang dicurahkan ke atas perniagaan.
Seorang lagi teman saya berkata bekerja sendiri ibarat kaca terhempas ke lantai, sekali jatuh habis berderai. Saya menjawab, usah dikira berapa kali kita jatuh terhempas dan berkecai, tetapi kiralah berapa kali kita bangkit dan bangun kembali dari kejatuhan itu. Ia akan membuatkan kita menjadi lebih baik dari semalam kerana pengalaman jatuh adalah sebaik-baik guru dalam perniagaan.
Hehehe………………………….