Oleh ISMA ADDI JUMBRI
Islam memandang mulia kepada golongan usahawan malah dijanjikan dengan balasan yang baik di akhirat dengan
syarat golongan usahawan ini benar-benar jujur dan ikhlas serta memahami serta melaksanakan konsep perniagaan
yang ditetapkan dalam Islam.
Ini dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: Abi Sa’id menceritakan bahawa Rasulullah bersabda:
“Seseorang peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi-nabi, para siddiqin dan para syuhada.”
SIRAH NABAWIAH
Sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutuskan, masyarakat Arab telah pun menjalankan aktiviti perniagaan dan
keusahawanan dengan berdagang dari Timur dan Barat dunia. Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam dan ini
termasuklah sejarah Marco Polo yang dianggap terkenal sebagai pelayar dan pedagang.
Namun, kedatangan Islam dan ajaran Rasulullah membawa sinar baru dalam budaya keusahawanan yang selama ini
dicemari dengan masalah penipuan, penindasan, monopoli, kapitalis dan riba. Kegemilangan Islam terus berkembang
dan disegani ke seluruh alam dengan pendekatan budaya keusahawanan yang lebih beretika telah dibawa oleh Nabi
Muhammad, para sahabat dan tabi’en.
Perkembangan keusahawanan ini turut merancakkan lagi penyebaran dakwah Islamiah, menggerakkan lagi ekonomi
umat Islam dan seterusnya menjadikan usahawan Muslim disegani serta berkaliber berbanding bangsa lain termasuklah
golongan Yahudi.
Keunikan perniagaan oleh usahawan Muslim adalah kerana mereka lebih telus dan jauh daripada masalah-masalah
penipuan dan penindasan. Walaupun Islam sangat menyokong dan memberikan ruang yang luas dalam urusan
perniagaan dan jual beli namun, masih terdapat peraturan yang perlu dipatuhi seperti firman Allah yang bermaksud, Dan
Allah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba. (al-Baqarah: 275)
Benarlah ajaran Nabi Muhammad ini menjadikan bukan hanya usahawan Muslim dipandang mulia bahkan seluruh
kehidupan manusia lebih bertamadun dan berakhlak. Ia bersesuaian dengan sabda Nabi yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia.”
Nabi juga adalah seorang usahawan yang pernah menjalankan perniagaan dengan membawa barang dagangan dari
Tanah Hijaz ke Sham dan banyak lagi transaksi perniagaan yang tercatat dalam sirah baginda. Pendekatan dan
pelaksanaan Rasulullah sebagai usahawan membawa kepada kaedah-kaedah dan akad dalam bermuamalat yang
mudah, teratur dan sistematik.
KEUSAHAWANAN MEMBENTUK PERIBADI MULIA
Aktiviti keusahawanan yang disulami dengan akhlak mulia melalui pendekatan dan penerapan Rasulullah s.a.w
merapatkan lagi hubungan persaudaraan dan silaturahim antara umat Islam. Hubungan yang murni ini terjalin kerana
pembeli dan penjual bersama mengamalkan nilai akhlak yang terpuji semasa urusan berjual beli.
Ini ditegaskan dalam sabda nabi yang bermaksud: “Semoga Allah merahmati seseorang yang sentiasa
bertoleransi ketika menjual, membeli dan menuntut haknya.”
Islam juga mengajar umatnya dan juga kepada usahawan Muslim agar melaksanakan pengurusan perniagaan yang
lebih sistematik dan teratur. Tidak kira dari aspek membuat keputusan, sistem perakaunan, beramanah, menyedari
tanggungjawab sosial dan banyak lagi nilai-nilai murni telah diajar kepada usahawan dan umatnya.
Misalnya, dalam aspek membuat keputusan Islam mengajar kita agar tidak terburu-buru tanpa berfikir panjang dan
meneliti dahulu kesan positif mahupun negatif yang bakal melanda mereka. Ini diperjelaskan dalam firman Allah yang
bermaksud, Dan segala urusan mereka hendaklah dimesyuaratkan di kalangan kamu. (Asy-Syura: 38)
Begitu juga dalam aspek sistem perakaunan, Islam telah mengajar agar kita mengamalkan sistem yang baik dan
beretika. Misalnya, dalam menjalankan perniagaan dan apabila melibatkan transaksi berhutang kita digalakkan mencatat
atau menulis segala transaksinya. Ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman!
Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan (bermuamalah) dengan hutang piutang yang diberi tempoh sehingga masa
tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya itu). Dan hendaklah seseorang di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). (al-Baqarah: 282)
Begitu juga dengan konsep menyedari tanggungjawab sosial yang sangat ditekankan dalam Islam terutama melalui
konsep zakat dan bersedekah. Dengan wujudnya amalan ini, ia bukan hanya memberikan kestabilan ekonomi umat
Islam malah berupaya membendung masalah sosial yang melanda.
Firman Allah yang bermaksud, Dan pada harta-harta mereka, ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi hak
orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian mereka. (Adz-Zariyat: 19)
Atas konsep inilah sahabat Baginda iaitu Abdul Rahman Auf yang juga seorang usahawan masyhur sanggup
menyumbangkan sebahagian keuntungan hasil perniagaan ke jalan Allah.
Menurut sejarah, beliau menginfaqkan barang dagangannya yang baru pulang dari Syam sebanyak 700 tunggangan
yang penuh dengan barang dagangan. Tidak terhenti di situ sahaja, beliau juga pernah menyumbang sebanyak seratus
tunggangan penuh dengan muatan kepada pejuang Islam yang berada di Madinah ketika itu.
Begitu juga Saidina Uthman yang pernah menyumbang barang dagangan seperti gandum, minyak dan kismis yang
dianggarkan sejumlah muatan 1,000 ekor unta kepada umat Islam semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar diselubungi
kemelesetan ekonomi.
Bayangkanlah ketika itu terdapat pedagang-pedagang Madinah yang menawarkan harga yang tinggi sehingga lima kali
ganda dari harga semasa. Namun, atas keimanan yang teguh dan ketakwaan yang hanya berpaksikan Allah menjadikan
usahawan Muslim sejati ini tidak sesekali hanya mementingkan keuntungan duniawi semata-mata.
DASAR KERAJAAN
Seiring 50 tahun kemerdekaan Malaysia, kerajaan menggubal pelbagai dasar dalam menggalakkan pembangunan
keusahawanan terutamanya di kalangan masyarakat bumiputera yang majoritinya beragama Islam.
Antaranya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara (DPN), Wawasan 2020 dan juga matlamat
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang mensasarkan 150,000 usahawan baru bumiputera.
Ini ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap
pada program Gerak Usahawan Nasional 2007 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi pada 25 Ogos lalu.
Masyarakat Islam di Malaysia dan majoritinya bumiputera perlu menyedari bahawa kita masih golongan minoriti dalam
bidang perniagaan dan keusahawanan walaupun kita merupakan majoriti daripada populasi negara. Pelbagai sektor
perniagaan kini, sedang dan dimonopoli oleh bukan Islam.
Adakah kita menyedari di sebalik kepesatan ekonomi yang kian rancak dan dalam Malaysia menuju ke arah Hub Halal
Dunia 2010, peluang menjadi usahawan begitu luas terutama sebagai pengeluar makanan halal. Dengan populasi
penduduk Islam dunia yang mencapai 1.6 bilion dan kesedaran masyarakat bukan Islam yang turut memahami
kepentingan produk makanan halal dalam kehidupan seharian mereka telah merancakkan lagi perkembangan bidang ini.
Jika kita terus leka dek hanya mencari bintang, idola dan pelbagai rancangan hiburan realiti TV lagi pastinya kita akan
terus tertinggal dalam lautan keusahawanan ini. Jangan nanti, kita boleh diibaratkan seperti “sepuluh jung masuk
pelabuhan, anjing bercawat ekor juga” dan lebih dahsyat lagi situasi umat Islam pada masa itu umpama
“yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”.
Perlu disedari penglibatan sebagai usahawan tidak hanya terhad sebagai pengeluar semata-mata. Usahawan Muslim
boleh turut melibatkan diri sebagai pemasar, pemborong, pengedar, peruncit, penyedia dan juga pembekal. Lebih-lebih
lagi sebagai pembekal kepada sumber dalam menjana produk makanan halal seperti bidang pertanian, bioteknologi,
penternakan dan perladangan.
Kerajaan kini amat memandang serius bidang pertanian sebagai industri yang penting dan mempunyai impak serta
potensi yang besar kepada pembangunan ekonomi negara. Ini sinonim dan bertepatan dengan slogan yang sering diuaruarkan
kerajaan melalui media massa sama ada media cetak mahupun elektronik iaitu ‘Pertanian adalah
Perniagaan’.
Yakinilah, dengan usaha dan iltizam yang tinggi sebagai usahawan Muslim yang diredai Allah akan memberikan
keuntungan bukan hanya di dunia malah di akhirat. Ini kerana ia turut memartabatkan bersama maruah agama Islam,
bangsa dan Malaysia tercinta.
Penggerak Usahawan Dalam Talian Anda!
http://www.usahawanterbilang.com Dikuasai oleh Joomla! Dijanakan : 27 August, 2008, 18:01
* ISMA ADDI JUMBRI ialah Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan Fakulti Pengurusan dan Muamalah Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, Selangor.