"Teruskan atau tidak". Isu subsidi terus menjadi polemik, persoalan besar yang terpaksa dirungkai antara perlu atau tidak kerajaan meneruskan dasar memberi subsidi untuk beberapa barangan dan perkhidmatan di negara ini.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop baru-baru ini memberitahu kerajaan dijangka membelanjakan RM81 bilion tahun ini untuk semua bentuk subsidi "bagi meringankan beban rakyat Malaysia menanggung kenaikan harga".
Jumlah berkenaan meliputi subsidi petrol, diesel, pendidikan, penjagaan kesihatan dan buku teks. Subsidi tahunan untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan sahaja, masing-masing berjumlah RM29 bilion dan RM9 bilion.
Bagi ahli ekonomi, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff, dasar subsidi yang diamalkan kerajaan lebih 50 tahun tidak wajar menjadi satu ciri kekal.
"Rakyat perlu dididik mengenai perkara ini. Saya bukan anti-subsidi kerana dalam sesetengah keadaan ada kesahihan untuk memberi subsidi terutamanya untuk penjagaan kesihatan dan pendidikan.
"Subsidi mungkin menjadi dasar politik yang baik tetapi untuk ekonomi, banyak keburukannya. Bukan sahaja kerana ia mempunyai implikasi belanjawan yang merugikan tetapi mengganggu pasaran dan sumber kewangan tidak digunakan sebaik mungkin," beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.
ANTARA KEPERLUAN DAN PERMINTAAN
Prof Ariff yang juga Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia(MIER) berpendapat kajian semula ke atas subsidi perlu dibuat berdasarkan sama ada penggunaannya berbentuk keperluan atau permintaan.
"Untuk penjagaan kesihatan ada alasan yang kuat untuk subsidi kerana ramai (golongan miskin dan berpendapatan rendah) tidak mampu untuk mendapatkan penjagaan perubatan yang baik.
Perkhidmatan kesihatan adalah keperluan asas insani dan ada orang yang mungkin tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk keperluan tersebut," katanya.
Beliau juga menganggap pendidikan sebagai berbentuk keperluan dan ia juga sebahagian hak asasi kemanusiaan. Prof Ariff berkata subsidi perkhidmatan kesihatan dan pelajaran adalah juga pelaburan modal insan.
"Kedua-duanya menjadikan seseorang itu lebih produktif. Orang yang sihat dan berpendidikan menyumbang lebih kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi berbanding orang yang sakit dan jahil," jelasnya. Prof Ariff juga berkata kesihatan tidak mempunyai banyak alternatif berbanding makanan.
"Dalam kes makanan, ada banyak pilihan. Jika harga daging naik, boleh tukar kepada ikan dan jika harga ikan pula meningkat, boleh makan daging ayam. Untuk yang tak ada banyak pengganti, kerajaan perlu tampil dan memberikan bantuan," katanya.
SISTEM SOKONGAN HARGA
Keprihatinan utama kerajaan memberi subsidi adalah untuk menurunkan harga. Bagaimanapun, kawalan harga menerusi sistem sokongan harga seperti subsidi perlu digunakan sebagai langkah terakhir, kata Prof Ariff.
Ia juga hanya perlu digunakan pada masa kritikal dan untuk jangka masa yang pendek. Kawalan harga seharusnya tidak menjadi satu ciri kekal di Malaysia. Menurut beliau kawalan harga telah diamalkan berdekad lamanya dan keadaan itu menyebabkan rakyat negara ini telah menjadi sebati dengan mentaliti subsidi.
"Pada saya itu satu kesilapan. Subsidi boleh digunakan semasa darurat untuk mengawal harga secara terpilih.
Itu pun sebagai langkah terakhir dan hanya untuk beberapa barangan terpilih dan untuk jangka masa pendek," katanya.
Prof Ariff berpandangan, subsidi mengganggu pasaran dan harga barangan.
"Apabila harga sesuatu meningkat, ia memberitahu ada sesuatu yang tak kena, sama ada permintaan yang banyak atau bekalan yang tidak mencukupi. Bekalan dan permintaan tidak selari.
"Cara terbaik membiarkan kepada pasaran, ia akan membetulkan keadaan. Jika harga sesuatu meningkat, pengeluar akan menambah pengeluaran dan untuk pengguna, dia akan mengurangkan penggunaan. Jika bekalan naik dan permintaan turun, harga akan kembali stabil, ia akan kembali seimbang," jelasnya.
Beliau menambah penyesuaian terhalang apabila harga ditetapkan di mana bukan sahaja penggunaan pengguna akan bertambah bahkan pengeluar juga tidak berminat untuk meningkatkan pengeluaran.
"Apabila mekanisme harga diganggu, ini bererti sumber kewangan tidak diperuntukkan sewajarnya. Kecekapan terjejas, dan akhirnya kita mengeluarkan benda yang salah. Sumber kewangan tidak digunakan secara berhemah," katanya.
PENAWAR UNTUK HARGA TINGGI
Daripada memberi subsidi makanan dan beberapa perkara lain, Prof Ariff berkata kerajaan sepatutnya menggalakkan persaingan.
Dengan keyakinan persaingan penawar terbaik untuk harga tinggi, beliau menjelaskan apabila ada persaingan, pengeluar dengan sendirinya akan berusaha untuk menurunkan kos. Jika pengeluaran meningkat dan kos menurun, pengguna akan meraih faedah harga yang lebih rendah.
"Jika tidak ada persaingan dan jika produktiviti meningkat, hasilnya pengeluar mendapat keuntungan yang tinggi bukan harga barangan menurun.
"Persaingan juga menjadikan perdagangan kita lebih bebas. Kita perlu menggalakkan lebih ramai pengeluar, kurangkan tarif dan lebih bebas memberikan lesen," tegasnya dengan menambah, dasar persaingan sudah sedia ada di Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa anggapan bahawa kepentingan petani tempatan akan terjejas sekiranya makanan lebih murah dibawa masuk tidak boleh dijadikan hujah untuk subsidi makanan.
Pada pandangan beliau kerajaan boleh membantu petani tempatan berbuat sesuatu yang menghasilkan pulangan yang lebih tinggi daripada apa yang dilakukan sekarang yang tidak mendatangkan banyak keuntungan dan memerlukan sokongan subsidi.
Oleh Melati Mohd Arif(BERNAMA)sent to andy