Ubah Sikap Untuk Kelangsungan Hidup

Ubah Sikap Untuk Kelangsungan Hidup
'Merdeka', 'Merdeka', 'Merdeka'. Laungan keramat ini akan bergema lagi pada sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-51, 31 Ogos ini.

Yang pasti sambutan ini akan disambut dalam landskap politik tanah air yang masih dibadai gelombang pelbagai isu politik selepas berakhirnya Pilihan raya Umum ke-12 Mac lalu.

Pergolakan politik adalah satu fasa biasa dalam kehidupan sesebuah negara, demikian pandangan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Datuk Omar Hashim.

"Yang penting kita mesti mengasah kematangan berfikir, mesti bijak membezakan politik kepartian dengan masalah bangsa. Kita mesti melihat kerenah parti politik serta apa pula masalah yang dihadapi oleh bangsa Malaysia sendiri, khususnya bangsa Melayu.

"(Lazimnya) fokus atau misi parti politik hanya untuk memenangi pilihan raya, walhal rakyat biasa mahukan secara berpanjangan perlindungan, keamanan, makanan atau rezeki yang murah serta sedikit harga diri," kata beliau dalam wawancara khas dengan Bernama di sini baru-baru ini.

PEMIKIRAN KRITIKAL

Secara umumnya, Omar yang pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (1985-1990) berkata rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya perlu belajar berfikir secara kritikal.

"Secara mudah, makna pemikiran kritikal ialah pemikiran yang dapat membezakan benda yang baik dengan yang buruk, yang jijik dengan yang mulia, yang karut dengan yang betul.

"Secara tidak langsung sistem pendidikan kita memang ada menyisip semuanya ini melalui mata pelajaran sastera, sejarah dan kertas am tetapi kita mahu menekankan kepada para guru dan pensyarah di sekolah atau universiti untuk memberi lebih banyak penekanan kepada pemikiran kritikal ini," jelas Omar, tokoh utama yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan proses pengambilalihan pengendalian peperiksaan SPM/MCE daripada Cambridge pada tahun 1978.

Beliau juga berperanan penting dalam pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan, khasnya usaha memperkukuhkan persekolahan Menengah Melayu dan Bahasa Melayu menerusi sistem peperiksaan umum.

UBAH SIKAP

Ubah sikap dan belajar 'bertumang kepada paruh sendiri'. Omar melihat perubahan ini amat perlu bagi orang Melayu dalam menyambut kemerdekaan ke-51 tahun ini.

Orang Melayu, katanya perlu melupakan ungkapan lama seperti 'tuan laksana payung di mana hamba boleh berlindung, berteduh di masa hujan dan panas'.

"Sehingga sekarang kita masih berpegang kepada sisa-sisa nak berteduh ini, masih mengharapkan orang lain menyediakan tempat berteduh.

"Kita mesti memaksa diri belajar, sedikit demi sedikit. Ini akan mengambil masa yang panjang untuk kita dan anak cucu kita keluar daripada kempompong sindrom perlindungan ini," tegas Omar.

Satu lagi perubahan sikap yang dilihat amat penting bagi orang Melayu ialah amalan berjimat dan menabung untuk pendidikan anak-anak di masa hadapan.

"Kaum-kaum lain sudah mengamalkannya sejak berpuluh-puluh tahun. Kita juga boleh melakukannya," jelas beliau.

Menjelaskan mengapa orang Melayu perlu menghimpun duit, Omar berkata menjadi kelemahan orang Melayu berbelanja boros apabila mempunyai duit yang banyak.

"Ini tak terjadi kepada bangsa lain seperti Cina dan India yang menyimpan duit kerana dia nak lihat tiga generasi selepasnya masih ada lagi duit dan hidup senang," kata Omar.

Beliau berpendapat orang Melayu perlu belajar bagaimana kaum minoriti negara ini mengurus kehidupan mereka dan dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka serta kuasa politik mereka.

"Meskipun selepas pilihan raya umum ke-12 Barisan Nasional masih memerintah dan terasnya masih Melayu, tetapi sebahagian daripada orang Melayu telah berada di gelanggang politik lain," katanya.

TERLALU BANYAK BERMAIN POLITIK

Menggilai politik sehingga lupa perkara besar seperti mencari nafkah yang halal, kehidupan yang aman dan damai serta berjimat untuk masa depan pendidikan anak-anak, adalah antara sikap negatif orang Melayu, menurut pandangan Omar.

"Tenaga banyak dihabiskan menghadiri perhimpunan politik dan membaca bahan-bahan beracun. Semuanya ini tidak membina, sebaliknya boleh memporak-perandakan masyarakat, menyebabkan kita hidup diselubungi prasangka bukan sahaja sesama kaum sendiri tetapi juga pada kaum-kaum lain.

"Habuk-habuk yang berterbangan melalui politiking ini merosakkan segala yang baik. Lebih teruk ia boleh menghakis keyakinan kepada kerajaan dan institusi seperti polis, angkatan tentera dan kehakiman," demikian pendapat Omar.

Beliau menarik perhatian lambakan maklumat hari ini yang bukan sahaja melalui saluran berita konvensional seperti akhbar, radio dan televisyen tetapi juga laman web dan 'blog' di internet.

Sesuai dengan pepatah 'di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung', Omar mengingatkan orang Melayu supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan informasi yang boleh melemahkan semangat patriotisme mereka.

PATRIOTISME DAN JATI DIRI

Dalam masa yang sama, beliau mahu semangat patriotisme dipupuk dengan lebih baik lagi di semua peringkat masyarakat berbilang kaum negara ini.

Sambil menyifatkan pendidikan sebagai wadah penyatuan masyarakat majmuk negara ini, beliau turut melahirkan rasa kecewanya kerana tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi jurang perpaduan dan integrasi kaum di negara ini.

"Keputusan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah satu langkah yang baik, cuma tempohnya terlalu singkat. Bagaimanapun, ini permulaan yang baik," kata Omar.

Beliau turut membangkitkan isu jati diri di mana beliau menyatakan orang Melayu khasnya perlu mempunyai sikap bangga dengan sejarahnya dan masa silam negara ini yang cemerlang.

Dalam hal ini, katanya, muzium sejarah berperanan untuk menyemarakkan dalam kalangan rakyat terutamanya generasi muda supaya cintakan sejarah dan memupuk semangat patriotisme.

MUZIUM SEJARAH DAN KEBUDAYAAN NASIONAL

Muzium Sejarah juga ibarat serambi untuk orang luar mengenali identiti dan sejarah bangsa, katanya, dan berharap muzium sejarah di Dataran Merdeka yang ditutup pada 2007, dibuka semula.

"Muzium ini amat popular dan menjadi tarikan besar kepada pelancong kerana lokasinya yang strategik. Banyak masa, tenaga dan kos telah disia-siakan apabila ia ditutup," jelas Omar.

Omar turut menyentuh soal kebudayaan nasional yang pada suatu ketika adalah komponen penting dalam pembangunan sosial serta integrasi negara.

Beliau merujuk kepada Kongres Kebudayaan Kebangsaan Kedua yang diadakan Ogos 1971 di Universiti Malaya, yang merumuskan tiga konsep penting -- kebangsaan Malaysia haruslah berteraskan kebudayaan asli rakyat rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur kebudayaan kebangsaan dan Islam menjadi unsur penting dalam pertumbuhan kebudayaan ini.

Hampir 40 tahun berlalu dan pedoman-pedoman ini terpinggir sejak kebelakangan ini dalam negara memburu kemakmuran kebendaan dan perkembangan akhir-akhir ini memperlihatkan kecenderungan kepada 'multiculturalism' dan 'multilingualism', katanya.

Bagi Omar, keadaan itu amat membimbangkan.

"Ia terang-terangan bercanggah dengan segala usaha penyatuan selama ini untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang kuat, progresif dan demokratik dengan identiti nasional yang tersendiri," tegasnya.

-- BERNAMA