10 Tahun Untuk Menguasai Sesuatu Bidang

Hari ini saya terbaca satu artikel di StarBizWeek yang ditulis oleh Roshan Thiran mengenai cara untuk menjadi 'genius' dalam sesuatu bidang menerusi latihan. Menurut artikel, berasaskan satu kajian oleh Anders Ericson, kesempurnaan atau penguasaan dalam sesuatu bidang boleh dicapai selepas berlatih dan mengasah kemahiran selama 10 tahun atau 10,000 jam.Kemahiran, kejayaan dan penguasaan sesuatu bidang bukan sahaja bergantung kepada bakat, tetapi juga kepada kesanggupan untuk berlatih dan terus berlatih. Adakah Tiger Woods seorang yang berbakat dalam sukan golf? Mungkin, tetapi beliau berlatih dan terus berlatih sehingga orang lain nampak seolah-olah beliau seorang yang sangat berbakat tetapi permainan golf dikuasainya hanya dengan latihan gigih. Vijay Singh juga begitu. Etika kerja beliau sungguh mengagumkan. Justeru walaupun bermula lambat di PGA Tour Amerika, beliau telah memenangi begitu banyak gelaran dan sehingga kini masih boleh menang walaupun sudah mencecah usia 45 tahun.Penulis juga mengungkap Malcolm Gladwell dalam bukunya 'Outliers' yang menekankan perkara yang sama. Menurut Gladwell, sebelum dikenali ramai, Kumpulan Beattles telah membuat persembahan sebanyak 1,200 kali. Jadi, apabila mereka mula dikenali, mereka tidak lagi mempunyai masalah membuat persebahan secara langsung. Bayangkan sesetengah penyanyi sekarang yang mempunyai masalah apabila membuat persembahan 'live'. Mungkin bakat ada tetapi latihan kurang.Saya juga berpeluang bermain bersama ketua pasukan hoki negara Nor Saiful Zaini dan duduk sebilik dengannya dalam satu pertandingan. Etika latihan beliau sungguh hebat. Selain itu, tahap 'intensity' latihan juga agak menakutkan. Memang tidak dinafikan beliau telah dilahirkan dengan kaki yang pantas tetapi ramai orang lain juga dilahirkan dengan bakat yang sama. Beliau menjadi ketua pasukan negara kerana disiplin dan latihan.Pada pandangan saya ungkapan 'usaha tangga kejayaan' memang tepat, tetapi ramai orang yang berusaha tetapi masih di tahap purata atau bagus sahaja, tidak sehingga ke peringkat cemerlang atau terbaik. Mungkin sebabnya ialah mereka perlu terus berusaha, dan terus berusaha sehingga 10 tahun, barulah mereka mencapai tahap terbaik. Ada ramai orang apabila sudah menguasai sedikit ilmu atau kemahiran, berhenti belajar atau berlatih, sehingga penguasaan mereka 'dikekalkan' sahaja di tahap 'baik' dan tidak sentiasa dipertingkatkan untuk mencapai kecemerlangan.Contoh yang diberikan ialah dalam bidang sukan dan muzik tetapi sebenarnya boleh diaplikasi kepada semua bidang. Thomas Edisan dan Warren Buffet ialah dua contoh dalam bidang lain bagaimana dedikasi, latihan dan usaha gigih boleh membawa kejayaan.Kalau mereka boleh, kita pun boleh. Tetapi sanggupkah kita berlatih, mengasah bakat dan bekerja keras selama 10 tahun?