Kisah Rumahtangga Para Salafus Soleh

“Apabila suamiku pergi mencari kayu bakar, aku merasakan betapa beratnya ia mencari nafkah. Aku merasakan betapa hausnya dia di pergunungan. Untuk itu setiap kali ia pulang, aku selalu menyediakan air dingin yang boleh terus diminumnya. Aku menyusun dan mengatur rumah serapi mungkin. Aku menyediakan makanan untuknya. Aku memakai pakaian terbaik yang aku miliki untuk menyambut kepulangannya. Di saat ia masuk ke rumah, aku menciumnya dengan penuh kerinduan. Aku pasrahkan diriku kepadanya.

Aku menyiapkan keperluan jika ia ingin beristirehat. Aku juga selalu berada di sisinya, sehingga ketika manapun ia menginginkanku aku berada di sampingnya.” Demikianlah jawapan seorang isteri pencari kayu bakar menjawab pertanyaan para sahabat r.a.. Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada sahabat-sahabatnya bahawa perempuan itu termasuk salah seorang ahli syurga disebabkan kemuliaan dan keanggunan sikapnya kepada suaminya. Itulah yang menyebabkan mereka bertanya kepada perempuan itu. Para salafus soleh berlumba-lumba mengumpul bekalan untuk ke syurga. Pantang sekali mendengar Rasulullah s.a.w. mengatakan seseorang yang merupakan ahli syurga, segera mereka menemuinya untuk mendapatkan petua dan rahsia amal yang membawa ke syurga.

Kisah ini telah terbentang di dalam sirah, terpulanglah kepada para isteri untuk mengambil iktibar darinya. Dunia salafus soleh juga sememangnya merupakan pentas kehidupan yang dilakonkan oleh makhluk yang bernama manusia. Menjenguk kisah mereka dalam kehidupan berumahtangga, memberikan kita suatu gambaran bahawa mereka juga tidak sunyi dari masalah dalam hidup berkeluarga.

Mereka tetap hidup dalam arena kerenah yang lazimnya dilalui oleh seorang suami dan isteri. Namun, apa yang membezakannya dari kita hanyalah kehidupan mereka telah diwarnai dan dibingkaikan dengan nilai-nilai Ilahi. Ajaran Islam begitu dekat sekali, malah melekat dalam sanubari sesama mereka. Oleh itu, walaupun biasa berlaku kesilapan dalam mengendalikan bahtera, ia hanyalah bak angin yang lalu bagi melancarkan lagi perjalanan bantera itu, bukannya bagai badai yang mengganas dan menjahanamkan bahtera.

Malam Pertama Yang Indah

Dalam sejarah salafus soleh, tercatatlah salah seorang yang bernama Syuraih al-Qadhi. Suatu ketika as-Sya’bi bertanya tentang kehidupan rumahtangganya, dia mengatakan: “Sejak dua puluh tahun yang lalu, aku tak pernah melihat isteriku berbuat sesuatu yang membuatkan aku marah. Mulai dari malam pertama hingga kini yang aku lihat padanya adalah keindahan dan kecantikan belaka. Di malam pertama, aku berniat dalam hati untuk menunaikan solat dua rakaat sebagai ungkapan rasa syukurku kepada Allah S.W.T. Ketika aku menoleh mengucapkan salam, aku lihat isteriku pun turut bersolat di belakangku. Dia menghulurkan tangannya seraya berkata: “Selamat datang, wahai Abu Umayyah, alhamdulillah, aku memuji dan memohon pertolonganNya.

Semoga selawat dan salam tetap melimpah kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan keluarganya. Sesungguhnya aku adalah perempuan asing bagimu. Aku tidak tahu akan akhlakmu. Terangkanlah kepadaku apa yang engkau senangi dan yang tidak engkau senangi. Apa-apa yang kau senangi akan aku cuba penuhi, dan apa yang tidak engkau senangi akan usahakan untuk menghindarinya. Aku yakin di antara kaummu pasti ada yang ingin mengkahwinkan wanitanya denganmu.

Begitu juga dengan kaumku, ada lelaki sekufu denganku. Akan tetapi apa yang ditetapkan oleh Allah harus dilaksanakan. Kini aku milikmu, lakukanlah sesuai dengan yang diperintahkan Allah S.W.T. Aku mengucaplan ini dengan memohon ampun kepada Allah untuk diriku dan untuk dirimu…”. Selanjutnya Syuraih pun menghabiskan malam pertamanya dengan penuh kebahagiaan.

Cemburu Salafus Soleh

Sikap cemburu, bila diterapkan pada tempatnya merupakan faktor yang dapat menambahkan rasa cinta dan kemesraaan antara suami isteri. Sikap itu juga merupakan sebahagian dari sikap para salafus soleh. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh a-Tabrani, Rasulullah s.a.w.

pernah menyatakan bahawa orang yang tidak memiliki rasa cemburu kepada isterinya tidak akan masuk syurga. Umm al-Mukminin ‘Aisyah r.a. diriwayatkan pernah merasakan cemburu kepada suaminya ketika pada suatu malam Rasulullah s.a.w. keluar dari sisinya. ‘Aisyah r.a. terbangun dan tidak boleh tidur lagi hingga ke pagi hari. Sampai ketika Rasulullah s.a.w. datang, baginda bertanya: “Cemburukah kamu wahai ‘Aisyah?”. Apakah orang seperti anda tidak layak aku cemburu?”, jawab ‘Aisyah.

Sa’ad bin Mu’az r.a. cemburu ketika melihat isterinya memberikan buah epal yang sudah digigit kepada hambanya. Tentang cemburunya Sa’ad, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apakah kamu hairan dengan cemburunya Sa’ad?. Demi Zat yang jiwaku berada ditanganNya, sesungguhnya aku lebih cemburu daripada Sa’ad dan Allah lebih cemburu daripadaku.”

Ada pula sahabat lain, iaitu Zubayr bin Awwam. Isterinya Asma’ bint Abu Bakr r.a. pernah bercerita: “Pada suatu hari, aku bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bersama dengan sahabatnya. Ketika itu aku sedang mengangkat batu. Lalu Rasulullah s.a.w. menghentikan untanya dan membawaku bersamanya.

Aku merasa amat malu sekali berjalan bersama laki-laki, apalagi bila mengingati Zubayr yang sangat cemburu. Rasulullah s.a.w. mengetahui hal ini. Sebaik sahaja aku sampai, segera aku bercerita kepada suamiku Zubayr. Ia menjawab: “Demi Allah, sikapmu mengangkat batu itu lebih penting bagiku daripada kamu menaiki unta bersama Rasulullah s.a.w..”

Berusaha Bersikap Bijak

Diriwayatkan ada seorang lelaki yang ingin mengadu perilaku isterinya kepada Amirul Mukminin Saiyidina ‘Umar al-Khattab r.a., lelaki itu terpegun kerana mendengar isteri ‘Umar r.a. sedang marah-marah. Tidak terdengar sama sekali jawapan ‘Umar r.a. Setelah mengetahui keadaan itu, dalam hatinya ia berkata: “Jika ‘Umar saja sebagai orang kuat, tegas bahkan… Amirul Mukminin, tidak bertindak sedemikian, maka apalah ertinya aku ini?”.

Orang itu lalu bergegas ingin kembali ke rumahnya dan tak jadi mengadu akhlak isterinya kepada Khalifah ‘Umar. Sebelum melangkah jauh, ‘Umar telah menyedari kedatangannya lalu memanggilnya dan bertanyakan tentang keperluan dia datang ke rumah beliau. Lelaki itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, kedatanganku sebenarnya adalah untuk mengadu tentang perilaku isteriku yang buruk. Tetapi setelah aku mendengar tadi akan isterimu melakukan hal yang sama, aku berkata dalam hati: “Jika keadaan Amirul Mukminin pun sedemikian, maka apalah ertinya aku ini?”. “Wahai sahabatku, aku menahan diri daripadanya kerana ada beberapa hak yang telah ia tunaikan yang seharusnya menjadi kewajipan ku.

Ia telah memasak, membuat roti, mencuci pakaian, menyusukan anak aku. Di mana tugas itu sebenarnya bukanlah kewajipan baginya. Aku diam sahaja, kerana memang aku yang bersalah.” Jawab ‘Umar r.a. “Wahai Amirul Mukminin, isteriku juga berbuat begitu.” Kata lelaki tersebut. “Bersabarlah wahai sahabatku, kerana yang demikian itu takkan berjalan lama.” Jawab ‘Umar.

Dari peristiwa di atas, jelas menunjukkan betapa Saiyidina ‘Umar r.a. amat menghargai jerih payah isterinya melaksanakan tugas-tugas rutin urusan rumahtangga. Lebih-lebih lagi apabila tugas itu bukannya merupakan kewajipan seorang isteri, tetapi hanyalah khidmat bakti yang dicurahkannya kepada suami dan anak-anak tercinta demi untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Menyedari pengorbanan isterinya dan kekurangan dirinya, maka amak bijaklah Saiyidina ‘Umar berdiam dan bersabar menghadapi kemarahan isterinya yang kepenatan. Nasihatnya supaya lelaki itu ‘bersabar kerana ia takkan lama’, menunjukkan ia memahami tabiat marah wanita, cepat nak marah tetapi hanya sekejap sahaja.

Dalam menghadapi masalah rumahtangga, kisah Saiyidina ‘Umar ini wajar sekali diteladani. Ingatlah kita akan pesanan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya: “Berwasiatlah kebaikan kepada para wanita, kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok, padahal tulang rusuk yang bengkok adalah yang paling atas, yang jika kau luruskan dengan keras, maka ia akan patah. Tetapi jika tidak diluruskan ia akan terus bengkok. Oleh sebabitu, nasihatilah para wanita secara baik.” (HR Bukhari)

” SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA ADALAH WANITA SOLEHAH “