IDEA :KITA GUNA BOMOH
“Lengang sahaja gerai-gerai makanan di sini? Minggu lepas saya datang ke sini saya lihat ramai pelanggan pada waktu begini.” sapa Azmin kepada seorang pelayan yang membawakannya makanan dan minuman yang dipesannya.
”Memang betul pelanggan semakin berkurangan. Mereka lari ke restoran di seberang jalan sana.” balas pelayan tersebut sambil menunjukkan restoran tersebut.
”Sejak restoran itu dibuka, ramai peniaga di sini mengeluh. Pendapatan harian kami semakin berkurangan, ’ sambung pelayan itu tanpa dipinta. Kelihatan wajah kekecewaan di wajahnya. Azmin sekadar merenung restoran itu yang kelihatan tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.
”Saya mesti ajar mereka!” Azam Azmin di dalam hati. Tanpa sedar dia menepuk kuat meja makannya sehingga tertumpah air yang dipesannya tadi.
* * *
”Apa hajat anak datang berjumpa saya?” Datuk Bomoh serius bertanya kepada Azmin yang bersila di hadapannya. Asap kemenyan daripada bekas bara kelihatan berkepul-kepul mengisi ruang di antara mereka.
”Saya mahu Datuk Bomoh jatuhkan perniagaan seseorang.” tegas Azmin tanpa ragu. Tersenyum-senyum Datuk Bomoh itu mendengarnya sambil mengurut-ngurut janggut tebalnya.
”Boleh, pasti boleh. Namun jika anak tidak keberatan, boleh beritahu mengapa anak mahu menjatuhkan perniagaan orang itu?” Datuk Bomoh melanjutkan pertanyaannya. Dipotongnya limau nipis dengan keris usang yang berbalut kain kuning.
Kini giliran Azmin tersenyum. Diperkemaskan silanya lalu membalas, ”Jika perniagaan orang itu ditutup, saya percaya ramai peniaga lain yang lain dapat cari makan Datuk Bomoh.”
Berkerut dahi Datuk Bomoh mendengarnya. ”Anak ini bukan seorang peniaga?”
”Saya bukan peniaga, saya bekerja di sebuah bank di bandar Maharani.” Balas Azmin jujur.
”Jika kamu bukan peniaga, mengapa kamu mahu menjatuhkan perniagaan orang lain? Kamu tidak ada untung apa-apa.” tingkah Datuk Bomoh. Dimasukkan kerisnya ke dalam sarung.
”Begini sebenarnya, saya kasihan melihat peniaga-peniaga makanan di situ. Sejak restoran itu dibuka, pendapatan mereka semakin berkurangan. Saya sekadar ingin menolong mereka melalui Datuk Bomoh.” Balas Azmin cuba menyakinkan Datuk Bomoh.
”Baiklah, kerana niat kamu ingin menolong orang saya akan bantu. Namun ada pengerasnya. Mesti bayar, jika tidak bayar tidak menjadi.” Datuk Bomoh mengingatkan Azmin.
”Tidak ada masalah. Niat saya ikhlas.” Jamin Azmin.
”Baiklah, saya perlukan nama pemilik restoran itu dan nama restoran tersebut.” pinta Tok Bomoh. Dicabutnya keris dari sarungnya , ditaburnya kemenyan. Semerbak bau menerjah deria hidu Azmin.
”Nama pemilik saya tidak pasti namun nama restoran itu saya ingat betul” balas Azmin jujur.
”Jika begitu tidak mengapalah. Beritahu saya nama restoran itu.” Datuk Bomoh bertanya sambil membawakan mukanya dekat dengan muka Azmin.
Azmin membalas, ”Nama restorannya McDonald dan Kentucky Fried Chicken. Boleh?”
Merah padam muka Datuk Bomoh mendengarnya.
* * *
Moral Cerita
* Jangan percayakan bomoh, pawang atau dukun. Syirik. Salah satu daripada dosa besar.
* Kalau bomoh itu betul-betul handal, kenapa tidak ada yang berjaya jatuhkan rangkaian restoran besar?
* Amalkanlah konsept D.U.I.T. (Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal).
P/S:baca lagi di Blog Abahfateh